Penulis pada masa ini menetap di Munich. Tetapi, sewaktu mula-mula melangkah kaki ke bumi Jerman. Penulis menetap di Dusseldorf.
Kenapa Dusseldorf? Kenapa tidak tempat lain? Soalan ini sentiasa ditanyakan pada penulis semasa penulis memutuskan untuk berhijrah ke Dusseldorf dua tahun lepas.
Bandarnya antara yang tertua di Jerman. Kotanya agak sempit. Ianya tidak begitu meriah berbanding Munich, Berlin ataupun Frankfurt. Kebanyakan kedai tutup pada pukul 8.00 malam. Sebenarnya, penulis tidak mempunyai pilihan pun dalam hal ini. Penulis hanya mengikut ke mana suami penulis bertugas.
Penulis akui, berbanding dengan Kuala Lumpur yang berstatus bandar metropolitan, Dusseldorf tidaklah begitu gah. Lagi-lagi penulis ini berada dalam kategori manja sewaktu menetap di Kuala Lumpur.
Tapi itu semua cerita masa lalu, hidup penulis berubah 360 darjah. selepas berpindah ke sini. Tiada lagi hantaran makanan, tiada lagi keluar menonton wayang sesuka hati ataupun karaoke sampai pagi. Dusseldorf betul-betul mengajar penulis, erti sebenar berdikari. Bumi Dusseldorf ini sedikit sebanyak mematangkan kehidupan penulis.
Di sini penulis akan kongsikan apa yang best tentang Dusseldorf. Pada sesiapa yang bakal berpindah di sini ataupun berhasrat menetap di sini. Harap-harap perkongsian ini dapat membantu anda membuat pilihan. Jangan tak tahu, Dusseldorf berada di tangga ke-6 senarai bandar dengan kualiti kehidupan terbaik di dunia.
10 perkara menarik tentang Dusseldorf.
1. Lapangan terbang.
Secara teknikalnya, Dusseldorf mempunyai dua lapangan terbang. Satu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Dusseldorf dan satu lagi kepunyaan Ryanair.
Lapangan terbang Antarabangsa Dusseldorf ini merupakan satu-satunya lapangan terbang di Jerman yang terletak di tengah-tengah bandar. Jadi ianya tidak berfungsi 24 jam seperti lapangan terbang yang lain. Walaupun akses ke bahagian awam dibuka kepada pengguna 24 jam. Tetapi bahagian kaunter keselamatan akan ditutup pada pukul 10.00 malam hingga ke pukul 4.00 pagi. Tiada penerbangan selepas pukul 12.00 malam ada dijadualkan.

Lapangan terbang Weeze pula mempunyai jadual penerbangan yang beroperasi 24 jam kerana kedudukannya yang agak jauh dari bandar.

Dusseldorf juga berjiran dengan Koln, Jarak dari pusat bandar Dusseldorf ke pusat bandar Koln adalah dalam setengah jam. Koln juga mempunyai lapangan terbang sendiri. Malah ianya lebih besar dan lebih sibuk berbanding Lapangan Terbang Dusseldorf. Ia juga beroperasi 24 jam.
2. Harga tiket kapal terbang yang murah.
Memandangkan Ryanair beroperasi di Dusseldorf, jadi tiket kapal terbang yang murah agak mudah di dapati. Harga tiket ada kalanya mencecah 1 digit Euro.
Ryanair juga mendapat saingan dari syarikat penerbangan tempatan bernama Eurowings. Jadi kedua-duanya kerap mengadakan perang harga.
Tiket kapal terbang ini kadang kala lebih murah berbanding dengan tiket keretapi. Ini kerana pengangkutan keretapi di Jerman dimonopoli oleh satu syarikat iaitu DB (DeutscheBahn). Metod penjualan tiket pula adalah seperti penjualan tiket kapal terbang. Ianya semakin mahal sekiranya tarikh tempahan dekat dengan tarikh perjalanan. Jadi tidak hairan, ramai yang lebih suka memilih untuk menaiki kapal terbang.

3. Kedai Asia yang banyak
Dusseldorf mempunyai populasi komuniti Asia tertinggi di Jerman. Jadi tak hairan ianya mempunyai banyak kedai Asia. Kedai Asia kegemaran penulis merupakan kedai India bernama Kashmir Store. Di sini, mereka ada menjual sos cili maggie dari Malaysia.
Penulis juga ada pergi ke kedai Asia yang lain untuk mendapatkan bekalan barang dapur dan barang basah dari Asia seperti sayur-sayuran, mi segera, rempah dan produk sejuk beku seperti bebola ikan dan sebagainya.
Jadi anda tak perlu risau. Cuma anda kena lebih kreatif jika mahu memasak masakan Malaysia. Di sini tiada rempah kari, rempah kurma atau rempah sup sedia guna seperti di Malaysia. Anda kena pandai beli dan campur sendiri serbuk-serbuk yang ada. Pening kepala juga mulanya, sekarang penulis dah pandai sedikit. Lama juga penulis bertapa di kedai India untuk belajar campuran yang betul.
Jika tiada rempah yang telah dikisar, penulis perlu mengisar sendiri di rumah. Mujur juga penulis ada pengisar kering. Kadang-kadang bila datang malas, penulis guna sahaja pengisar kopi suami penulis. (Jangan ikut perangai ni).

4. Jaringan pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu
Walaupun bandar Dusseldorf ini agak kecil dan sempit. Tetapi jaringan pengangkutannya amat efisien. Ketepatan masa semua kenderaan awam adalah dalam 80%. Jika tiada sebarang kecemasan atau kemalangan, kebiasaannya ia akan datang tepat pada masanya.
Kenderaan awam di sekitar Dussedorf terdiri daripada bas, tram, keretapi bawah tanah (Ubahn) dan keretapi aliran ringan (Sbahn).
Permulaannya, agak pening juga penulis mahu membiasakan diri dengan sistem dan jadual perjalanan. Namun, dengan bantuan aplikasi atas talian yang disediakan syarikat pengangkutan, memudahkan penulis untuk merancang perjalanan.
Pada yang tidak mempunyai aplikasi tersebut, jangan risau kerana sistem dan jadual perjalanan ada diintegrasikan ke dalam Google Map. Ralat masa cuma sekitar seminit dua.

5. Perkhidmatan internet percuma di dalam bas
Bas merupakan pengangkutan pilihan penulis di Dusseldorf. Ianya lebih cepat dan lebih kerap berbanding dengan tram dan mempunyai jaringan yang lebih luas berbanding keretapi bawah tanah (Ubahn).
Tapi yang paling best tentang menaiki bas di Dusseldorf adalah perkhidmatan WIFI percuma yang ditawarkan. Bukan itu sahaja, di setiap tempat duduk penumpang juga ada disediakan port USB untuk anda mengecas telefon bimbit.

6. Taman- taman yang cantik
Dusseldorf memang mempunyai banyak taman. Taman-taman ini amat luar biasa cantiknya apatah lagi sewaktu musim bunga dan musim luruh.
Apabila cuaca baik, penduduk di sini gemar menghabiskan masa berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan di taman. Ada juga yang memanggang barbeku.

7. Kebebasan mengadakan demonstrasi aman
Ini bukan sahaja terhad pada Dusseldorf, tetapi di seluruh negara Jerman amnya. Penduduk di sini, bebas mengadakan demonstrasi secara aman. Asalkan mereka meminta kebenaran dari pihak berkuasa.
Sepanjang penulis duduk di Dusseldorf, boleh dikatakan setiap bulan jalan di depan rumah penulis akan dijadikan laluan demonstrasi jalanan ini pada hujung minggu. Dan setiap kali itulah, jalan depan rumah penulis ditutup laluan pada kereta-kereta untuk memberi laluan kepada pendemonstrasi.
Penulis sudah lali melihat anggota polis lalu lalang di depan rumah penulis. Kerana kehadiran mereka menandakan yang demonstrasi akan berlaku kira-kira beberapa jam lagi.
Antara yang menarik penulis pernah lihat adalah tentang demonstrasi mendapatkan bekalan air bersih, membenarkan penggunaan marijuana, menuntut kenaikan gaji dan banyak lagi.
Video-video di bawah adalah antara yang penulis sempat rakam dari tingkap rumah penulis.
8. Karnival
Jika di Bavaria, Octoberfest merupakan sambutan yang popular. Di negeri North Rhine Westphalia pula terkenal dengan Karneval. Perayaan ini disambut dengan amat meriah di Dusseldorf.
Setiap tahun penduduk di sini akan memakai kostum dan bersuka ria hingga lewat malam. Pada waktu pagi, beberapa kawasan di pusat bandar akan ditutup untuk menjayakan majlis perarakan.
Pengunjung akan disajikan dengan pemandangan kereta berhias yang dihias dengan bermacam-macam gaya. Ada juga yang mengambil kesempatan sewaktu perayaan Karnival ini untuk memerli ahli politik yang tidak kena dengan pandangan mereka.
Sekolah-sekolah juga akan ditutup sewaktu perayaan Karnival berlangsung. Ada juga sekolah yang mengadakan perayaan kecil Karnival di sekolah masing-masing.

9. Mesra Imigran
Pada akhir tahun 2017, populasi Dusseldorf adalah 639,407. Populasi imigran pula mencecah 145,094. Iaitu kira-kira 20% populasi Dusseldorf. Ini bermaksud, ratio imigran dengan penduduk tempatan adalah 1:4. Jadi penduduk di Dusseldorf sudah biasa bergaul dengan imigran.
Dusseldorf juga mempunyai komuniti imigran dari Asia yang tertinggi berbanding bandar-bandar yang lain di negara Jerman. Komuniti imigran terbesar di Dusseldorf pula adalah dari negara Turki. Oleh itu, tak perlu risau jika datang ke sini. Akses terhadap makanan halal memang banyak dan murah. Restoran Doner dan kebab ada di mana-mana.
Walaubagaimanapun, jangan cepat terpedaya. Penduduk di sini sangat menekankan kepentingan berbahasa Jerman. Lagi-lagi jika anda mahu bekerja di sini. Anda sekurang-kurangnya perlu mempunyai kemahiran berbahasa Jerman pada tahap B.1 mengikut CEFR jika mahu mendapat kerja yang bagus.
Namun, jika bidang anda adalah bidang IT. Tahniah, anda tidak perlu menguasai bahasa Jerman. Mereka sangat-sangat memerlukan tenaga pakar dalam bidang IT.

10. Sudut buku percuma
Yang ini penulis paling suka. Berdekatan dengan rumah penulis dulu, ada terdapat kabinet buku kaca yang boleh diakses sesiapa sahaja yang berminat. Sesiapa yang mempunyai buku yang telah habis dibaca, boleh meletakkan buku mereka di dalam kabinet ini untuk dikongsi bersama pembaca yang lain.
Anda tidak perlu mendaftar. Jika ada buku yang anda minat, anda boleh sahaja ambil buku tersebut dan bawa balik.
Sebelum berpindah ke Munich, penulis juga telah meletakkan beberapa buah buku yang penulis beli di sini. Supaya ianya bermanfaat kepada pembaca seterusnya.
|