9 perkara menarik tentang Paris Catacombs (Part 1)

Sewaktu suami penulis memberitahu yang beliau akan ke Paris atas urusan kerja. Penulis dengan pantas mengajak diri sendiri untuk pergi bersama beliau. Lawatan kerjanya tidak lama, cuma tiga hari dua malam. Jadi penulis terus menyatakan hasrat untuk melawat Catacombs.

Suami penulis tidak pernah tahu tentang kewujudan Catacombs sebelum ini. Maklumlah, ianya bukan tempat mesti pergi di kalangan pelancong yang melawat kota yang diberikan jolokan kota Romantis ini.

Jadi sebelum penulis menceritakan tentang pengalaman penulis sewaktu melawat Catacombs (part 2), penulis terangkan serba sedikit apa itu Catacombs dan perkara menarik yang membuatkan penulis amat teruja untuk melawat Catacombs.

Yang menarik tentang Catacombs

1. Kompleks Perkuburan bawah tanah terbesar di Paris

Paris Catacombs (perkuburan bawah tanah) ini merupakan kompleks perkuburan terbesar di Paris. Ianya menempatkan sekurang-kurangnya 6 milion tulang rangka manusia. Keluasan Catacomb adalah 2 kilometer dan kedalamannya adalah 20 meter atau menyamai bangunan lima tingkat. Pengunjung biasanya mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk meneroka bahagian yang dibenarkan di dalam Catacombs. Suhu di dalam Catacombs adalah 14 degree Celsius. Jadi pakai baju tebal jika mahu melawat.

Paris Catacombs diinspirasikan daripada Catacombs yang banyak terdapat di kota Rom. Ia pada asalnya merupakan sebuah kuari batu kapur, tetapi ianya bertukar fungsi kepada kompleks perkuburan pada tahun 1786.

Ianya diubah fungsi kerana perkuburan terbesar di Paris ketika itu yang bernama Les Innocents telah penuh sesak hinggakan mayat-mayat orang mati tidak dapat disemadikan dengan baik. Ini menyebabkan penyakit tersebar dengan cepat. Bukan itu sahaja. Bau busuk mayat juga berlegar di sekitar kota.

Tanda pada batu memorial tentang tulang belulang yang berasal dari perkuburan Les Innocents.
Sumber Imej: Charlyn Wee

Jalan terbaik adalah memindahkan semua tulang belulang dari perkuburan tersebut dan menempatkan tulang belulang tersebut di Catacombs. Ini juga bagi memberi laluan kepada mayat-mayat baru untuk disemadikan dengan baik. Proses memindahkan tulang belulang mengambil masa hampir dua tahun. Ianya juga cuma dilakukan pada waktu malam untuk mengelakkan kecaman dan gangguan dari pihak gereja.

Tulang belulang kemudian yang dipindahkan kemudiannya dibacakan doa dan direnjiskan air suci oleh pendita-pendita kristian sebelum disusun dengan cantik.

cat17
Tulang belulang yang disusun berbentuk tempayan

2. Labirin bawah tanah dengan terowong-terowong yang gelap dan menyesatkan

Seperti yang penulis beritahu tadi, Catacombs asalnya merupakan sebuah kuari batu kapur. Boleh dikatakan kecantikan bangunan yang terdapat di kota Paris adalah hasil lombongan batu kapur dari kuari tersebut. Kuari ini mempunyai ratusan labirin dan terowong yang gelap dan berselirat. Keluasan sebenarnya kuari ini dianggarkan bersamaan 300 KM jika dicantumkan semuanya.

Pihak berkuasa Paris hingga hari ini masih tidak dapat menganggarkan dengan tepat jumlah terowong dan pintu masuk yang ada. Terdapat beberapa orang yang cuba meneroka sendiri dan akhirnya mati kerana sesat.

Cuma satu bahagian kawasan yang dihadkan boleh diakses oleh pengunjung. (Tempat yang pengunjung berpeluang melawat). Selain dari kawasan tersebut, bahagian lain kuari tersebut diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh pihak berkuasa Paris.

Antara peristiwa yang menarik perhatian adalah penjumpaan mayat seorang pengawal keselamatan hospital Val-de-Grâce dekat dengan salah satu pintu keluar Catacombs. Si mati bernama Philibert Aspairt. Beliau dikatakan telah hilang selama 11 tahun sebelum mayatnya dijumpai.

Mayat si mati kemudian dikuburkan di Catacombs sebagai penghormatan kepada mendiang. Pada batu nisan mendiang terdapat tulisan

“A LA MEMOIRE DE PHILIBERT ASPAIRT PERDU DANS CETTE CARRIERE LE III NOVEMBRE MDCCXCIII RETROUVE ONZE ANS APRES ET INHUME EN LA MEME PLACE LE XXX AVRIL MDCCCIV”

Yang bermaksud

“Dalam kenangan, Philibert Aspairt. Orang yang tersesat di sini pada tanggal 3 November 1793; ditemukan dan dikuburkan 11 tahun kemudian pada tanggal 30 April 1804.”

Batu Nisan kubur mendiang Philibert Aspairt.
Sumber Imej: Rémi Villalongue

Selain itu, pada tahun 2017 juga berlaku peristiwa di mana dua remaja lelaki telah tersesat di dalam Catacombs selama 3 hari. Mujur polis dapat mengesan mereka dan mereka dapat diselamatkan walaupun kedua-duanya mengalami hipotermia sewaktu dijumpai.

cat2
Salah satu terowong di dalam catacombs

3. Latar cerita beberapa buah filem dan teater terkenal

Penulis merupakan penggemar cerita bergenre thriller. Pertama kali penulis mengetahui kewujudan Catacombs adalah dari filem berjudul sama iaitu Catacombs yang keluar pada tahun 2007. Ianya dikatakan diinspirasikan dari kisah benar.

Filem lain yang menjadikan Catacombs sebagai latar cerita adalah As Above, So Below yang keluar pada tahun 2014.

Penulis novel Perancis terkenal iaitu Victor Hugo juga dikatakan menggunakan pengetahuannya tentang sistem terowong Catacombs sewaktu beliau menghasilkan Les Miserables.

4. Lokasi untuk thriller enthusias (CATAPHILLE)

Catacombs ini mempunyai enthusias dan kelab peminat yang digelar cataphiles. Cataphiles merupakan komuniti penjelajah urban yang mendapat keseronokan dengan menjelajah terowong-terowong bawah tanah di sekitar Catacombs. Terdapat beberapa kumpulan cataphiles yang membuat pemetaan sistem terowong bagi memudahkan eksplorasi dijalankan.

Dikatakan juga, komuniti ini juga menubuhkan beberapa komuniti bawah tanah. Ada ruangan-ruangan yang dicat dan dihias dengan cantik dan dijadikan lokasi perjumpaan dan pesta. Ada juga dijumpai restoran dan panggung wayang bawah tanah di sini.

Antara gambar-gambar yang merakamkan aktiviti Cataphille.
Sumber imej : Jerome Bon

5. Mempunyai polis khas untuk mengawasi kawasan Catacombs

Oleh kerana Catacombs ini diklasifikasikan kawasan berbahaya, Sekumpulan polis khusus yang dipanggil cataflics ataupun E.R.I.C ditugaskan mengawasi dan mencegah pencerobohan terutamanya dikalangan cataphilia. Jadi jika anda berniat untuk menjelajah catacomb secara haram, jika ditangkap, bersedia untuk didakwa kerana perbuatan anda merupakan jenayah yang boleh didakwa.

6. Peranan penting sewaktu perang dunia kedua

Sewaktu Perang Dunia ke-2, Catacombs telah digunakan oleh pasukan pemberontak Paris sebagai lokasi persembunyian. Apa yang menariknya, lokasi sama juga digunakan oleh tentera Nazi Jerman sebagai bunker.

Bayangkan dua pihak yang menentang sesama sendiri memilih Catacombs sebagai lokasi perjumpaan dan persembunyian tetapi mereka tidak terserempak dengan sesama sendiri.

7. Tiada bangunan besar boleh didirikan di lokasi atas Catacombs.

Oleh kerana lokasi bawah tanah Paris tidak begitu stabil kerana kewujudan terowong-terowong yang berselirat ini. Pemerintah Kota Paris melarang bangunan-bangunan besar dibangun di atas kawasan Catacombs. Ini kerana dikhuatiri, struktur tanah yang terdapat disekitar Catacombs tidak mampu menampung berat bangunan yang bakal dibina.

8. Lokasi rompakan wain vintage

Ianya mungkin agak kelakar. Tetapi ianya cerita benar. Pada tahun 2017, sekumpulan pencuri menggunakan sistem terowong bawah tanah Catacombs untuk merompak koleksi wain vintage yang disimpan di sebuah bilik bawah tanah peribadi bertempat di apartment 6th arrondissement yang juga terletak bersebelahan dengan  Luxembourg Gardens.

Pencuri berjaya mencuri sebanyak 300 botol wain vintage yang dianggarkan bernilai 250,000 Euro.

9. Lokasi ladang cendawan

Jangan pelik jika Catacombs juga mempunyai ladang cendawan. Ianya bermula apabila seorang Parisian bernama Monsieur Chambery menjumpai sekelompok cendawan liar tumbuh di dalam ruang yang terdapat di dalam terowong Catacombs sewaktu meneroka terowong tersebut.

Beliau membuat keputusan untuk menggunakan terowong-terowong terbiar tersebut sebagai ladang cendawan. Usaha beliau diiktiraf oleh Persatuan Hortikultur Paris. Sejak dari itu, ramai petani cendawan yang mengikut jejak langkah beliau.

Rasanya sembilan perkara ini cukup untuk menarik minat sesiapa sahaja untuk melawat Catacombs. Untuk part 2 nanti, penulis akan cerita pengalaman peribadi penulis pula sewaktu di sana. Jika anda mahu berkunjung ke Paris, mungkin boleh masukkan Catacombs ke dalam itinerari anda.

One thought on “9 perkara menarik tentang Paris Catacombs (Part 1)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s