Pengalaman Melawat Catacombs (part 2)

 

Mula-mula sekali. Penulis amat bernasib baik dapat melawat Catacombs. Minggu di mana penulis melawat adalah minggu terakhir Catacombs dibuka sebelum ianya ditutup selama sebulan untuk tujuan pembaikpulihan.

Dari luaran, Catacombs ini kelihatan biasa-biasa sahaja, tiada apa yang menyeramkan atau mengerikan. Penulis dan suami perlu beratur selama sejam untuk masuk ke dalam. Namun jika dibandingkan dengan tempat -tempat tumpuan pelancong yang lain di Paris, masa sejam itu tidaklah lama mana.

Sebelum penulis cerita pengalaman penulis dengan lebih lanjut, ini sedikit sebanyak informasi jika anda mahu melawat Catacombs. Jika mahu tahu tentang Catacombs dengan lebih lanjut, anda juga boleh membaca post penulis tentang 9 yang menarik mengenai Catacombs.

Lokasi Catacombs dan Tempat Beli Tiket

Catacombs terletak di Avenue du Colonel Henri Rol-Tanguy. Untuk sampai ke Catacombs, anda boleh sama ada mengambil keretapi bawah tanah ke Denfert-Rochereau ataupun menaiki bas bernombor 38 dan 68.

Arca singa ini terletak betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk Catacombs. Jadi jika anda khuatir akan tersesat. Jadikan arca singa ini sebagai mercu tanda.

cat landmark

Pintu masuk Catacombs adalah sebuah pintu keluli yang dicat dengan warna hitam. Dari jauh nampak seperti bangunan terbiar. Namun apabila anda sampai dekat. Anda akan nampak tulisan “Pintu masuk Catacombs” apabila diterjemah ke dalam bahasa Melayu.

cat1

Waktu Beroperasi

Catacombs dibuka dari hari Selasa hingga Ahad dari jam 10 pagi hingga 8:30 malam. Ianya ditutup untuk tujuan penyelenggaraan pada hari Isnin.

Peraturan yang perlu dipatuhi

Pihak pengurusan Catacombs menghadkan jumlah pengunjung cuma 200 orang pada satu masa. Pengunjung akan dibenarkan masuk secara berperingkat, iaitu 10 orang sekali masuk. Jika waktu sibuk, memang barisan pengunjung yang menunggu giliran masuk akan menjadi sangat panjang. Penulis sendiri perlu beratur selama sejam.

Tidak dibenarkan berlari atau membuat bising sewaktu berada di dalam catacombs. Perbuatan vandalisma adalah dilarang keras sama sekali.

Kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak dibenarkan masuk ke dalam Catacombs. Remaja yang di bawah umur 14 tahun pula perlu ditemani ibu bapa mereka.

Ianya juga tidak sesuai untuk orang tua yang uzur kerana ruang bawah tanahnya yang sempit dan tangganya yang berpilin-pilin.

Sewaktu berada di dalam Catacombs, jangan cuba-cuba untuk menyentuh tulang temulang sama sekali. Takut anda akan didenda dan terus diiring keluar dari Catacombs.

Harga tiket

Tiket dewasa berharga 13 Euro. Jika anda mahu menyewa panduan audio, tambahan 5 Euro akan dikenakan. Panduan audio terdapat dalam Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman dan Sepanyol. Jika anda ingin membeli tiket secara atas talian. Anda boleh terus lawati laman web rasmi mereka.

cat fee

Pengalaman Penulis

Sebaik sahaja melepasi pintu masuk, penulis perlu turun ke bawah melalui anak tangga yang berpusing-pusing. Jumlah anak tangga kira-kira 131 kesemuanya. Jarak untuk sampai ke bawah dianggarkan bersamaan tiga tingkat. Pening penulis dibuatnya. Awal-awal lagi sudah mencabar.

Oh ya, pastikan anda memakai baju tebal dan kasut yang selesa. Suhu di dalam Catacombs adalah antara 12 darjah Celsius ke 16 darjah Celsius. Permukaan lantai Catacombs juga tidak rata. Memang mencari padah jika anda menggunakan kasut bertumit atau sandal biasa. Lantai Catacombs ini basah dan lecak. Airnya pula memang dingin. Jadi elakkan sama sekali memakai kasut terbuka. Walaupun anda datang sewaktu musim panas.

cat19
Penulis memakai but dan kot paras lutut sewaktu mengunjung Catacombs

Sebaik sahaja sampai di bawah, penulis melalui sebuah terowong. Di kiri dan kanan terowong, ada tercatat tarikh di mana tulang-tulang ataupun mayat-mayat dipindahkan ke sini. Proses pemindahan tulang temulang ini dibuat secara berperingkat. Walaupun majoriti tulang temulang datangnya dari tanah perkuburan Les Innocent. Ada juga tulang temulang yang dibawa dari tempat lain.

cat2

Ini video ala-ala Blairwitch Project yang penulis rakam sewaktu berjalan menerusi terowong.

Setelah melalui terowong. Penulis menemui bilik informasi. Di sini ada ditunjukkan informasi tentang Catacombs, informasi tentang tulang temulang, peta kawasan dan bentuk keratan pintas Catacombs. Di bilik ini juga terdapat terdapat sebuah pintu gerbang dengan tulisan “ Arrete! C’est ici lempire de la Mort” yang bermaksud ‘Waspada! Anda memasuki kerajaan kematian’.

Penulis sempat rakamkan suasana di bilik informasi sebelum melangkah masuk ke pintu gerbang yang membawa penulis ke ruang simpanan tulang temulang di dalam Catacombs. Pencahayaan di dalam Catacombs agak kurang baik. Jadi penulis minta maaf jika video penulis agak gelap.

Untuk melawati semua ruang yang dibenarkan masuk di dalam Catacombs mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam. Petugas Catacombs dapat dilihat berada di mana-mana bagi memastikan pengunjung tidak tersasar ke bahagian larangan. Kebanyakan kawasan larangan telah ditutup dengan tirai besi, tetapi masih ada juga yang tidak ditutup. Mungkin ianya laluan pekerja – pekerja Catacombs untuk urusan penyelenggaraan.

cat4
Contoh tirai besi yang penulis maksudkan

Selain memastikan pengunjung tidak sesat, petugas juga bertanggungjawab memerhatikan jika ada cubaan dari para pengunjung untuk menyentuh atau yang lebih ekstrim membawa pulang tulang temulang yang terdapat di Catacombs. Jangan terkejut, memang ada yang berbuat demikian.

Petugas Catacombs juga mengira jumlah pengunjung supaya jumlah pengunjung kekal 200 orang di dalam Catacombs pada setiap masa, jadi jika ada yang tidak keluar dari Catacombs dalam tempoh yang dihadkan, terpaksalah pelawat yang beratur menunggu lebih lama.

Ruang di dalam Catacombs terbahagi kepada beberapa galeri yang gelap dan sempit. Langitnya juga rendah. Pada yang mempunyai fobia pada tempat sempit. Memang tidak digalakkan datang ke sini.  Suasana yang kelam, persekitaran yang lembap dan basah, ditambah pula dengan suhu sejuk. Memang cukup untuk membuat bulu roma anda meremang. Memang boleh dikatakan setiap bulan, ada terjadi insiden di mana petugas Catacombs perlu memanggil ambulans kerana terdapat pengunjung yang pengsan atau pitam sewaktu berada di dalam Catacombs.

Ribuan tulang temulang dan tengkorak disusun memenuhi tiap inci dinding dari bawah ke atas. Ianya dikumpulkan mengikut tempat di mana dan tahun bila ianya dipindahkan. Susunan tulang temulang dan tengkorak dibuat secara berseni. Arkitek yang bertanggungjawab menyusun tulang temulang dan tengkorak dengan berseni ini namanya Louis-Étienne Héricart de Thury. Penulis kongsikan beberapa gambar tulang temulang dan tengkorak yang sempat penulis ambil untuk tatapan mata anda.

Hati penulis memang terusik sepanjang menyelusuri barisan tulang temulang yang disusun. Tulang temulang ini asalnya adalah manusia seperti kita. Inilah pengakhiran kita sampai suatu masa. Tulang temulang yang tak bernama. Apalah yang hendak kita banggakan dengan hidup kita yang sesingkat mata berkelip. Pengakhirannya jelas kita lihat di depan mata. Kaya atau miskin, hebat atau hina, cantik atau hodoh, pandai atau bodoh. Pengakhirannya tetap sama. Kematian adalah sesuatu yang pasti.

Di dalam Catacombs ini tiada lif ataupun tandas. Jarak pintu masuk ke pintu keluar adalah lebih kurang dua kilometer. Sama seperti di pintu masuk. Untuk keluar dari Catacombs, anda perlu menaiki sebanyak 112 anak tangga yang berpilin-pilin. Penulis rasa, pengalaman naik turun tangga berpusing ini lebih mencabar daripada pengalaman berada di dalam Catacombs itu sendiri.

Itu sahaja pengalaman penulis sepanjang melawat Catacombs. Jujur penulis katakan, penulis lebih berasa sedih berbanding seram sepanjang berada di sini. Pengalaman melawat tempat-tempat sebegini membuatkan penulis berasa betapa kerdilnya diri kita. Tidak dapat melawan takdir. Mati itu pasti. Jadi gunakanlah masa hidup kita dengan sebaik-baiknya.

 

One thought on “Pengalaman Melawat Catacombs (part 2)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s