Pertama kali penulis makan di sini adalah pada tahun 2013. Waktu itu penulis sedang menjalani latihan internship yang merupakan sebahagian daripada program Ijazah Sarjana penulis. Latihan internship penulis waktu itu adalah bersama Matrade Frankfurt. Jadi penulis berpeluang mengikut kakitangan Matrade Frankfurt menyertai pameran perdagangan Transport & Logistic yang di anjurkan di Munich.
Selepas habis pameran, penulis di bawa ke restoran ini untuk makan malam. Memang makanannya agak sedap. Terutama nasinya yang dipanggil Palau. Jadi apabila penulis dan suami bertemu janji dengan rakan penulis. Terus penulis cadangkan restoran ini sebagai lokasi makan malam kami.
Penulis memesan makanan Afghani yang agak ringkas kerana penulis masih tidak tahu selera rakan penulis. Menu yang penulis pilih adalah Kabab-E Mix yang terdiri daripada daging kambing cucuk, daging ayam cucuk, daging lembu cincang cucuk dan tulang rusuk kambing yang diperap dan dipanggang.
Tulang rusuk kambing digrill dengan baik dan teksturnya lembut. Ianya juga diperap dengan baik, tiada rasa hamis pada kambing. Begitu juga dengan daging kambing cucuk, daging ayam cucuk dan daging lembu cincang cucuk. Dari segi rasa, memang cukup. Ada rasa. Penulis dapat mengesan rasa jintan, garam masala dan jeera dalam campuran perapan.
Cuma bagi penulis, jika ada sos pencicah, mungkin penulis akan lebih menikmati hidangan ini. Memang bukan kebiasaan mereka, menikmati makanan sebegini dengan sos pencicah.
Hidangan ini juga datang dengan salad sayur-sayuran yang terdiri daripada daun salad feld, daun salad iceberg, buah zaitu, timun, tomato dan cili peperoni. Sayur-sayur ini digaul bersama sos salad dan ditabur daun parsley. Penulis tidak pasti apa bahan-bahan sos berkenaan kerana, ianya hanya ditulis “Home made salad dressing“. Tapi sos tersebut ada rasa pudina dan buttermilk.
Hidangan ini juga datang dengan dua keping roti rata Afghan. Bagi penulis, dua keping roti ini rasanya terlalu sedikit untuk dikongsi bertiga. Jadi penulis memesan sepinggan nasi Afghani yang bernama Palau. Palau ni kelihatan seperti nasi hujan panas yang terdapat di Malaysia. Beras yang digunakan adalah beras basmati. Tetapi rasa palau tidak sama dengan rasa nasi hujan panas. Palau merupakan beras basmati yang dikukus dengan beberapa rempah ratus. Ianya tidak berminyak seperti nasi hujan panas yang kebiasaannya di masak dengan minyak sapi atau mentega.
Penulis juga ada memesan pemanis mulut yang bernama ferni. Ianya merupakan puding susu Afghani yang ditabur dengan badam dan pistachio kisar. Penulis juga ada rasa cardamom sewaktu menikmati puding tersebut.
Kesimpulannya, makanan yang penulis pesan tidak mengecewakan. Cuma penulis sebagai orang Asia memang suka makan nasi. Jika datang ke sini di lain waktu, mungkin penulis akan memesan hidangan nasi seperti palau atau briyani yang terdapat di sini.
Jika anda melawat ke Munich dan mahu datang ke Kabul Restaurant, Penulis kongsikan maklumat restoran di bawah.
Kabul Restaurant
Address: Dachauer Str. 33, 80335 München
Opening Hour:
Monday – Friday: 11.00 AM – 11.00 PM
Weekend: 12.00 PM – 11.00 PM
Phone: 089 46227038
Website: https://www.kabul-kueche.de/
Jika anda ingin mengetahui lebih banyak restoran menarik di sekitar Munich, penulis ada sediakan pautan ulasan penulis terhadap restoran sekitar Munich di bawah untuk dijadikan panduan.
3 comments