Amboi clickbait penulis. Maaf ya semua. Tapi memang benar, Cordoba membuat penulis jatuh cinta. Jika Granada kota tercantik yang pernah penulis lawati, Cordoba pula membuatkan penulis rasa gembira dan teruja.

Persekitaran di Cordoba banyak berbeza dari Granada. Kota ini menerima lebih ramai pengunjung berbanding kota-kota lain di tanah Andalusia ini. Yang paling seronok sebab harga kebanyakan barang-barang dan penempatan di sini amat murah berbanding kota-kota lain. Penulis beli air mineral 2 liter pun baru 40 sen Euro. Kat Malaysia pun tak murah macam tu.
Penulis tiba di kota Cordoba dengan menaiki bas. Cordoba tidak terlalu berbukit seperti Granada. Jadi cuacanya lebih panas. Apabila menghampiri kota Cordoba, pengunjung akan dapat melihat tembok kota yang masih megah berdiri hingga ke hari ini. Di sebalik tembok ini terdapat ibu kota lama Cordoba. Ianya juga telah diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO pada tahun 1994.

Seribu tahun dulu, kota Cordoba ini merupakan kota terbesar di dunia. Ianya pernah menjadi pusat pemerintahan empayar Umayyah yang juga lebih dikenali sebagai the Caliphate of Córdoba. Walaupun pemerintahan empayar ini sudah tinggal sejarah. Tapi setiap inci kota Cordoba mampu membuat pelawat mengimbau saat-saat gemilang tersebut.
Penulis melawat Cordoba tidak lama, cuma 3 hari 2 malam. Masa yang ada memang penulis gunakan sebaik-baiknya. Penulis merasa bertuah kerana kali ini penulis duduk betul-betul bersebelahan kota lama Cordoba. Yang memisahkan hotel dari kota lama merupakan sebuah sungai yang bernama Guadalquivir. Jadi penulis dapat melihat keindahan kota tersebut pada waktu malam dari tingkap bilik hotel penulis. Pemandangan yang bagi penulis amat menakjubkan.

Di sini penulis ambil kesempatan berkongsi tempat-tempat yang penulis lawati sewaktu di Cordoba. Oleh kerana kedudukan landskapnya yang landai, penulis berjalan kaki sahaja ke mana-mana. Penulis pergi sewaktu musim panas, memang menyengat rasa terik matahari. Pastikan memakai sunblock. Musim panas bermaksud hari siang lebih panjang. Matahari terbenam kira-kira pukul 10.00 malam. Okay jom kita lihat tempat-tempat yang penulis berkesempatan melawat.
Mosque–Cathedral of Córdoba
Lokasi yang terkenal ini merupakan katedral yang berasal dari masjid. Asalnya ianya sebuah masjid yang dibina pada tahun 900an di bawah pemerintah khalifah bernama Emir Abd-ar-Rahman. Pada waktu ini Cordoba mengalami zaman kegemilangan sains dan kebudayaan yang membuatkan nama Cordoba masyur di seluruh dunia.
Interior bangunan ini pada bahagian silingnya berbentuk ladam kuda yang terdiri daripada batu bata bertona dua. Batu-bata bertona dua ini disusun membentuk jalur yang cantik. Menurut panduan yang penulis baca, terdapatan keseluruhan 850 jalur semuanya. Struktur ini nampak sangat cantik apabila cahaya matahari masuk dan menyinari interior bangunan ini. Penulis pun tak berapa mahir nak terangkan. Cukuplah penulis kongsikan gambar untuk menyampaikan maksud penulis.
Setelah kejatuhan kerajaan islam pada tahun 1236, masjid ini bertukar fungsi menjadi gereja. Terdapat beberapa chapel dibina di beberapa seksyen di dalam bangunan.
Pengalaman melawat Mezquita ini bagi penulis memang unik dan menarik. Dapat dilihat pertembungan kepercayaan dua agama berasaskan kitab dalam seni bina bangunan ini.
Seni bina Islam yang tidak membenarkan binaan yang menyerupai manusia atau haiwan sebaliknya menggunakan motif geografi dan tumbuh-tumbuhan dapat dilihat menghiasi setiap inci dinding dan siling Mesquita.
Penganut kristian di Spain pula majoritinya berpegangan katolik. Jadi memang terdapat banyak patung-patung seperti Ibu Mariam dan beberapa saint menghiasi sudut-sudut Mezquita.
Terdapat juga ruang pameran yang mempamerkan artifak-artifak menarik sewaktu zaman kegemilangan kerajaan islam di Cordoba.
Jika anda mahu membeli tiket masuk ke Mezquita secara atas talian. Penulis ada sediakan pautan terus ke laman web rasmi iaitu Mezquita-Catedral De Cordoba untuk anda membuat tempahan. Memang tak rugi melawat tempat ini.
Patio de los Naranjos
Patio de los Naranjos bila diterjemah bermaksud halaman pokok oren. Ianya terletak bersebelah Mezquita. Asalnya dahulu, ia merupakan tempat untuk umat islam mengambil wudu’ sebelum menunaikan solat. Jadi terdapat beberapa kolam untuk tujuan mengambil wudu’ dapat dijumpai di sini.
Apa yang menariknya adalah deretan pokok oren yang terdapat di sini. Pokok-pokok oren di sini ada lebih kurang 98 pokok kesemuanya. Ianya berbuah ranum sewaktu musim bunga. Pada sesiapa yang datang pada musim bunga pasti seronok dapat menikmati keharuman bau buah oren yang tumbuh dengan lebat di sini.
Di bahagian utara halaman ini terdapat sebuah menara tinjau. Pada yang berminat menyaksikan keindahan kota Cordoba dari tempat tinggi, bolehlah naik mendaki.
Alcázar de los Reyes Cristianos
Alcázar de los Reyes Cristianos apabila diterjemah bermaksud istana untuk monarki kristian. Ianya merupakan sebuah kubu besar yang terletak di tepi Sungai Guadalquivir dan berhampiran dengan Mezquita. Kubu ini merupakan salah satu kediaman utama Isabella I of Castile dan Ferdinand II of Aragon . Dua tokoh diraja ini bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan empayar islam di Andalusia.

Alcázar yang ada sekarang ini diubahsuai oleh Raja Alfonso XI of Castile pada tahun 1328. Asalnya Alcázar merupakan sebuah istana yang dibangunkan oleh suku yang dikenali sebagai suku Visigoth. Apabila kerajaan islam berjaya menakhluk Cordoba setelah memenangi pertempuran Guadalete, istana ini diperkuatkan menjadi kubu.
Alcázar pada masa itu menjadi kediaman para emir sehinggalah terjadinya penaklukan Kristian pada tahun 1236. Dikatakan keluasan sebenar kubu ini pada masa itu seluas 39,000 m2.
Selepas penaklukan, tidak banyak struktur kubu dan ciri-ciri istana yang diubah. Taman – taman indah yang terletak di halaman istana masih dikekalkan. Bahagian bangunan pula telah diubahsuai menjadi muzium.
Jika menyelusuri tebing Sungai Guadalquivir pasti anda akan dapat melihat beberapa kincir air terbiar. Kincir-kincir air ini satu masa dulu membekalkan air yang menyirami pokok-pokok yang ditanam di Alcázar.


Oleh kerana penulis khuatir pos ini akan menjadi terlalu panjang. Penulis bahagikan ia kepada dua bahagian. Almaklumlah rentang perhatian generasi kini tidak lama. Jika penulis membuat pos yang panjang dan meleret. Bimbang pula ada yang bosan untuk membaca.
Untuk mengetahui banyak lagi tempat-tempat menarik yang penulis kunjungi di Cordoba. Bolehlah baca di part 2 nanti.
Thank you for sharing a Beautiful adventure and time with us. Love it. Will try to follow your foot steps.
Keep it up
LikeLiked by 1 person
Thank you so much for the support. I just started writing. Compared to your experience be it in travelling or writing, I am still a child who just learned how to crawl.
LikeLike