Selain Coklat dan waffle, Belgium juga terkenal dengan makanan laut yang segar. Penulis dan suami bagaimanapun tak berapa berselera menjamah makanan laut versi tempatan. Penulis pernah memberitahu suami yang pada pengalaman penulis, hidangan makanan laut ala Moroko adalah yang paling enak penulis pernah rasa. Jadi suami penulis pun mencari restoran makanan laut ala Moroko di sekitar Antwerp. Calamares tersenarai di tempat paling atas. Jadi kami mengambil keputusan untuk singgah.

Nyata keputusan kami tidak silap. Lihat sahaja deretan makanan laut yang banyak ini. Anda cuma perlu pilih yang mana anda suka. Bayaran hidangan pula dicaj berdasarkan berat timbangan pada kadar 20 Euro/kilogram. Pada penulis, untuk negara yang terletak di Eropah barat ni. Harga ini sangat murah, penulis menetap di Munich buat masa ini, memang menangis kalau nak makan makanan laut oleh kerana harganya yang mahal.
Makanan laut di sini dimasak mengikut permintaan. Anda boleh memilih sama ada makanan laut pilihan anda digril atau digoreng. Penulis memilih kira-kira 2 kilo makanan laut dan memesan supaya separuh digril manakala separuh lagi digoreng.
Walaupun cara masakan berbeza, tetapi perapannya sama. Restoran memerap makanan laut dengan daun parsli, daun pudina, minyak zaitun, garam dan beberapa jenis rempah.
Kedua-dua platter dimasak dengan baik. Kesemua makanan laut lembut dan tidak liat. Perapannya nipis supaya tidak menggangu rasa manis makanan laut itu sendiri. Memang sedap sangat dimakan panas-panas. Cuma sos pencelup bagi penulis agak tiada rasa. Tapi itu bukan masalah besar.


Restoran ini juga ada menyediakan salad yang dijual pada harga 3 Euro untuk saiz kecil. Pada mulanya, kami agak lapar sewaktu mula datang ke sini. Jadi dengan tidak banyak berfikir, kami memesan sepinggan salad. Tanggapan kami, salad yang dipesan mungkin cuma ada daun salad dan tomato. Rupanya tanggapan kami silap. Salad yang diberikan terdapat bermacam-macam jenis. Bukan sahaja sayuran, malah terdapat beberapa jenis sumber karbo seperti pasta, nasi dan kentang. Memang sangat berbaloi dengan harga 3 Euro. Mujur kami tidak memesan salad bersaiz besar yang berharga 5 Euro.

Kesimpulannya, memang puas kami berdua makan di sini. Oleh kerana kami menjamah salad dahulu. Jadi kami tak mampu nak habiskan hidangan. Terpaksa kami bungkus lebihan untuk di makan di hotel.
Tuan punya restoran amat baik memberi layanan pada kami. Kami juga dapat roti dan teh Moroko seteko percuma. Berbunga-bunga rasanya hati bila dapat restoran yang menghargai pelanggan walaupun penulis dan suami bukanlah siapa-siapa.
Di sini penulis kongsikan suasana di dalam restoran tersebut. Jika anda bercuti ke Antwerp dan mencari tempat untuk makan bersama keluarga. Penulis amat mencadangkan anda singgah di sini. Memang berbaloi. Maklumat restoran ada penulis sertakan sekali di bawah.
Calamares
Address: Handelstraat 40, 2060 Antwerpen, Belgium
Opening Hours: Daily (12.00 PM- 11.00 PM)
Phone: +32 3 636 08 00
Website:http://calamares2060.be/
FB: https://www.facebook.com/calamares2060/