Sewaktu melawat Füssen, penulis dan suami berkesempatan singgah ke satu-satunya restoran makanan India yang terdapat di sini. Rasa skeptikal juga pada mulanya. Apatah lagi, sewaktu penulis baru sampai. Restoran ini tutup sedangkan maklumat dalam laman web restoran mengatakan ianya dibuka. Tapi kami tidak menunggu lama di hadapan restoran. Tidak sampai beberapa minit, kami lihat pasangan berbangsa India dengan anak kecil yang berumur dalam lingkungan 3 tahun berjalan ke arah kami.
Rupanya, oleh kerana cuaca agak baik dan cerah, pasangan ini mengambil kesempatan untuk mengambil angin di sekitar kawasan restoran. Dan juga kerana Covid-19, restoran ini agak lengang daripada pengunjung. Sejurus melihat kami, mereka terus membuka restoran dan melayan kami.

Restoran ini kelihatannya seperti diuruskan sendiri oleh kedua pasangan ini. Si suami memasak makanan manakala si isteri pula menjadi pelayan. Si isteri amat ramah melayan kami. Anak kecil mereka turut teruja dengan kedatangan kami dan mengajak kami bermain bersama-samanya.
Suasana di restoran ini pada penulis amat menyenangkan. Rasa seperti mengunjungi rumah kawan atau saudara-mara berbanding dengan makan di restoran. Pelayan restoran juga banyak berceloteh dan memberi cadangan makanan yang enak.
Penulis memesan hidangan kambing iaitu Mutton Rogan Josh dan juga hidangan briyani istimewa iaitu Bombay Jheengha Biryani. Kami tidak menunggu lama, kesemua makanan cuma mengambil masa dalam 30 minit – 40 minit sebelum dihidangkan.

Penulis mulakan ulasan dengan hidangan bernama Bombay Jeengha Biryani. Nasi biryani ini merupakan biryani terpedas yang pernah penulis makan. Tapi rasanya amat sedap. Tambahan pula ianya ditaburi dengan hirisan badam, gajus hancur dan kismis. Yang menjadi tarikan utama biryani ini adalah udang harimau yang digunakan. Isinya amat lembut dan manis.

Terletak di bahagian kiri sekali itu adalah hidangan berasaskan daging kambing yang bernama Mutton Rogan Josh. Daging kambing ini dimasak lama hingga lembut di dalam kari ala kashmiri. Rasanya tidak terlalu pedas, tetapi banyak menggunakan lada hitam. Berpeluh jugalah jadinya penulis dan suami. Tapi rasa karinya agak seimbang dan ada rasa lemak, mungkin kombinasi dari daging kambing dan susu masam yang digunakan.
Saiz hidangan untuk kedua-dua menu ini agak besar. Memang penuh perut penulis walaupun hanya memesan dua hidangan. Rasa kedua-dua hidangan pun, memang sedap. Kami memang betul-betul kenyang.
Penulis kebetulan baru sahaja makan di sebuah restoran India di Munich seminggu sebelum makan di sini. Jujur penulis katakan, memang jauh beza perbandingan rasa antara ke dua-dua restoran tersebut. Sejak hari pertama menjejaki bumi Jerman, inilah kali pertama penulis dan suami makan dengan puas. Rasa masakan restoran ini mirip masakan India yang terdapat di Malaysia. Pedas yang boleh bikin nangis, tapi tetap tak boleh berhenti makan.
Oleh disebabkan itu, kami memutuskan untuk datang lagi pada hari kedua untuk mecuba menu yang lain. Kali ini kami memesan Chilli Fish dan Lamb Boti Masala.

Terletak di kiri adalah Chilli Fish, ianya menggunakan filet ikan Polack. Filet ikan ini dimasak di dalam kuah cili india yang likat. Rasanya pedas dan manis. Hirisan halia dan taburan daun koriander menambah rasa segar pada hidangan.
Lamb Boti Masala pula merupakan hidangan daging kambing yang direneh di dalam kuah masala. Penuh rasa rempah dan cili. Terdapat juga rasa lemak dari santan kelapa dan manis daging kambing.

Disebabkan hidangan agak pedas, penulis juga ada memesan minuman lassi. Seperti dilihat di dalam gambar, penulis memesan Original lassi yang ditabur dengan rempah dan diperasakan dengan sedikit garam. Ianya agak membantu mengurangkan rasa pijar di bibir penulis.

Restoran ini juga ada menyediakan khidmat penghantaran jika anda menginap di kawasan berdekatan restoran.
Kesimpulannya, penulis memang amat berpuas hati dengan layanan dan makanan yang disediakan di restoran ini. Jika anda berkesempatan melawat Füssen, jangan lupa singgah makan di sini.
Annapurna Indisches Restaurant
Address: Kemptener Str. 16, 87629 Füssen
Opening Hours:
- Monday
- Closed
- Tuesday
- 11:00 am – 10:00 pm
- Wednesday
- 11:00 am – 10:00 pm
- Thursday
- 11:00 am – 10:00 pm
- Friday
- 11:00 am – 10:00 pm
- Saturday
- 11:00 am – 10:00 pm
- Sunday
- 11:00 am – 10:00 pm
Phone: +4908362 8836943
Website: https://annapurna-indisches-restaurant.business.site